Press Articles

Utusan Malaysia - GD Express Yakin Catat Pertumbuhan

May 18, 2005

KUALA LUMPUR 17 Mei - GD Express Carrier Bhd., yang memulakan dagangan sulung di Pasaran Mesdaq hari ini yakin dapat mencapai pertumbuhan dalam perniagaannya yang menyediakan penyelesaian perkhidmatan penghantaran ekspres khusus bagi pelanggan korporat.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Sufian berkata, tumpuan syarikat adalah untuk mengembangkan penyelesaian khusus yang akan membolehkannya meraih faedah pada skala ekonomi lebih besar dan kecekapan kos lebih baik.

Meskipun harga minyak tinggi, syarikat itu hanya mengenakan kenaikan yang kecil dalam harga perkhidmatannya kerana ia terus mengoptimumkan struktur kosnya, katanya pada majlis penyenaraian GD Express di sini hari ini.

Ahmad berkata, GD Express kini mempunyai 10 pelanggan bagi penyelesaian khususnya dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

Beliau berkata, GD Express akan mengembangkan perniagaannya di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dan `beralih ke pasaran luar negara dalam tempoh lima tahun berikutnya.'

Pasaran Malaysia mempunyai potensi besar bagi pertumbuhan, katanya.

GD Express telah berkembang pesat menjadi salah satu daripada syarikat penghantar cepat yang utama di Malaysia, dengan menguasai tiga hingga empat peratus daripada pasaran yang bernilai RM1 bilion.

Mengenai hasil daripada penyenaraian syarikat, Ahmad berkata: "Hasil RM10.5 juta dikumpul daripada jualan 35 juta saham GD Express bernilai 10 sen setiap satu yang berharga 30 sen sesaham akan digunakan untuk membiayai pengembangan GD Express iaitu bagi menaik taraf kualiti proses dan meningkatkan lagi prasarana serta rangkaiannya." - Bernama